Widget for website from webstatsdomain

myislam.blogspot.com-Google pagerank and Worth

Apr 18, 2006

AL-BARZANJI DAN PERKARA-PERKARA LAIN

Barzanji ialah sebuah prosa berirama yang disusun oleh Jaafar al-Barzanji, yang isinya merupakan riwayat hidup Rasulullah s.a.w. dan puji-pujian terhadap dirinya.
Berawal dari Keinginan Panglima Perang Islam +/- 600 M, Salahudin Al Ayubi mengadakan sayembara penulisan/syair/prosa yang bisa membangkitkan kembali semangat kaum Muslim untuk melawan kaum Kafirin.

Sudah menjadi adat kebiasaan orang Melayu untuk membaca prosa ini pada setiap kali diadakan majlis memperingati maulid Nabi s.a.w. dengan berlagu. Juga pada majlis-majlis lain seperti perkahwinan, berkhatan, mengayun anak atau bercukur, dan perkara-perkara lain seumpamanya. Biasanya pembacaannya dilakukan berganti-ganti, satu fasal sesudah satu fasal, dan apabila sampai meriwayatkan kelahiran Nabi s.a.w. dibacakanlah "selawat" dan "marhaban" beramai-ramai dan bersahut-sahutan.
Prosa ini dimuatkan di dalam suatu kumpulan prosa dan puisi yang berisi perkara yang berkenaan dengan kelahiran Nabi s.a.w. dan puji-pujian ke atasnya. Kumpulan ini dinamai "Majmuah Maulid Syarafil-Anam". Isi kitab ini antara lain: Maulud al-Barzanji Nathar, Maulud al-Barzanji Nazham, Qasidah al-Burdah al-Mubarakah, Ad'iyah Khatmil-Maulud, Akidah al-Awam, Ratib Sayyidina al-Haddad, Talqinal-Maiyit, Doa Nisfu Syaban, dan Maulud Dibagh.

Buku ini sangat dihormati orang hingga seakan-akan menghormati al-Quran. Naskhah Majmuah Maulid Syarafil-Anam yang bersebar sekarang ini di Malaysia adalah diterbitkan Pulau Pinang. (Kitab ini diterbitkan oleh al-Muarif (al-Maarif ?-Peny.), Pulau Pinang).
Pengarangnya menghormati dan membesarkan Rasulullah s.a.w. secara berlebih-lebihan, hingga dikemukakan perkara yang sangat luar biasa dan bahkan ada yang bersifat syirik, memperlakukan Nabi s.a.w. seolah-olah Allah Taala. Dan semua cerita itu tanpa sumber sama sekali sehingga kami khuatir sekiranya umat Islam tercebur ke dalam mengada-adakan sesuatu yang tidak ada berkenaan dengan Nabi s.a.w., dan dengan yang demikian menampakkan imej palsu terhadap Nabi s.a.w. yang bukan imejnya sendiri. Ia boleh menyelewengkan pandangan seseorang muslim terhadap Rasulullah s.a.w.

Perosakan imej murni Rasulullah itulah antara lain yang hendak dihindarkan seperti oleh firman Allah s.w.t.:

"Katakanlah (wahai Muhammad), sesungguhnya aku ini manusia seperti kamu,
diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu adalah Tuhan yang Esa, maka sesiapa
yang mengharap menjumpai Tuhannya hendaklah ia melakukan amal salih dan jangan
menyekutukan dalam mengabdi Tuhannya akan sesuatu" (Q.18: 110).
Bukankah umat Kristian telah tercebur ke dalam mempertuhankan Isa al-Masih sebab terlalu memuliakan Rasul Allah itu?
Kita memang dikehendaki memuliakan dan memuji Rasulullah s.a.w. Penghormatan yang paling tinggi diberikan kepadanya dengan mengucapkan salawat dan salam, seperti yang dikehendaki oleh firman Allah:

"Sesungguhnya Allah dan Malaikat-Nya bersalawat ke atas Nabi;
wahai mereka yang beriman, bersalawatlah kamu ke atasnya
dan berilah salam dengan salam yang sempurna" (Q. 33: 56).
Penghormatan yang paling tinggi juga diberikan kepadanya dengan mencurahkan kasih sayang yang sebesar-besarnya kepada junjungan kita itu seperti dikehendaki oleh hadis ini:

"Demi yang diriku di dalam tangan-Nya tidak beriman seseorang kamu
hinggalah aku lebih dikasihi olehnya daripada anaknya, ayahnya,
dan manusia semuanya" (Muttafaq 'Alayh-al-Jazairi: 81).
Namun, bukan dengan mengada-ada secara berlebih-lebihan tentang dirinya dan bukan dengan meletakkan sesuatu yang tidak patut ke atas peribadinya yang mulia itu.
Di bawah ini diperturunkan beberapa contoh tentang penghormatan yang melampau itu (di dalam kitab al-Barzanji):
Maka, semua Nabi dijadikan daripada cahaya (Nur) Muhammad s.a.w. (m.s. 19).
Diceritakan bahawa pada setiap bulan Muhammad s.a.w. di dalam kandungan ibunya seorang Nabi datang mengunjungi ibunya; jadi sembilan bulan beliau di dalam kandungan, sembilan orang Nabi mengunjungi ibunya dan memberi khabar suka kepada Aminah; dan semua Nabi itu menyuruh Aminah menamakan puteranya dengan Muhammad. (m.s. 21, 22).
Diceritakan bahawa bayi Muhammad s.a.w. itu lahir dengan memakai celak, telah terputus pusatnya dan telah berkhatan; lalu malaikat membawanya keliling negeri; lalu diperkenalkan kepada penghuni langit, bumi, dan laut. (m.s. 25).
Tatkala Nabi diperanakkan binatang liar dan burung-burung meminta menyusukannya, dan malaikat meminta mendidiknya (m.s. 41).
Dan bercerita setiap haiwan orang Quraisy tentang pengandungannya dengan bahasa Arab yang fasih (m.s. 77).
Ini, sesungguhnya para imam yang mengetahui riwayat dan tilikan telah berpendapat eloknya (istihsan) berdiri ketika mengisahkan kelahirannya yang mulia (m.s. 79).
(Apakah kita boleh menggunakan istihsan tanpa petunjuk al-Quran atau al-Sunnah?)
Dan yang ini agaknya telah mencapai taraf syirik:
Wahai makhluk yang paling mulia, kepada siapakah aku berlindung selain kepadamu ketika berlaku peristiwa perataan bumi (m.s. 172).
(Bukankah hanya Allah tempat berlindung segala makhluk dan bukannya Muhammad s.a.w., meskipun beliau orang yang paling mulia pada sisi Allah, lebih-lebih lagi ketika berlakunya pembinasaan bumi ini kelak?).
Ini hanya beberapa contoh sahaja. Pada kenyataannya perkara seperti ini berkali ganda lebih banyak daripada contoh-contoh yang diutarakan di sini.
Al-Hamdany, di dalam bukunya Sorotan (Penerbit: H.S.A. Al-Hamdany, Pekalongan, 1971) mencatat ratusan contoh daripada kitab Majmuah Maulud Syarafil-Anam ayat-ayat yang mengelirukan, kerana penghormatan yang berlebih-lebihan yang diberikan kepada Rasulullah s.a.w., berita yang tidak berdasar dan perkara yang boleh menyampaikan kepada syirik akan Allah s.w.t.
Memang benar Rasulullah s.a.w. mempunyai banyak mukjizat ketika ia diperlukan di dalam perjuangannya. Namun, dalam kebanyakan daripada hayatnya beliau tertakluk kepada norma kemanusiaan seperti yang diperingatikan Allah di dalam hujung Surah Al-Kahf seperti yang dinukilkan di atas.
Pada peluang ini kami bertanya kepada tokoh-tokoh pemimpin Islam; tokoh-tokoh yang mentadbirkan agama Islam: Patutkah umat Islam dibiarkan terus-menerus terpesona di dalam mimpi pada siang hari, disuruh mempercayai cerita yang tidak berdasar dan tidak berdalil? Bukankah kita dikehendaki membersihkan dan memurnikan Islam daripada sampah sarap yang menimbusnya, daripada lumut yang membuatnya menjadi kelam dan tidak bersinar?
Ketika kami membuat wawancara dengan Kadi Besar Johor, Sahibul Al-Fadzilah Datuk Haji Hasbullah bin Datuk Abd. Razak (9 Disember 1989) beliau nampaknya berasa berbahagia bahawa Jabatan Agama Islam negeri Johor telah menerbitkan Barzanji Arab-Melayu, iaitu Barzanji dengan terjemahannya yang sampai sekarang telah enam kali cetak (cetakan keenam, 1984). Menurut beliau terjemahannya itu dapat juga dilagukan dengan berbagai-bagai cara lagu Arab yang digunakan untuk melagukan Barzanji yang asal. Terjemahan ini dilakukan oleh Haji Jamaluddin Hasyim, Imam Besar Masjid Abu Bakar, Johor.
Ketika kami katakan kepadanya terdapat cerita yang sangat berlebihan di dalam Barzanji itu, nampaknya beliau terpegun sebentar. Mungkin beliau tidak menyangka ada yang "menyalahi" di dalam kitab Barzanji itu. Atau mungkin beliau tidak merasakannya. Dan beliau merasakan dakwaan kami sebagai "serangan" yang tiba-tiba, yang tidak pernah beliau sangka.
Satu lagi terjemahan Barzanji ialah karya Akmal Haji Mohd. Zain, Sarjana Muda Usuluddin Universitas Riau, Pekan Baru, Indonesia, yang diterbitkan oleh Pustaka al-Mizan, Kuala Lumpur. Kitab ini telah dicetak dua kali, cetakan terakhir dilakukan pada tahun 1988.
Melihat jumlah pencetakannya yang berulang-ulang kita dapat menduga bahawa kitab-kitab ini ramai peminatnya dalam kalangan umat Islam, mungkin seramai peminat Barzanji itu sendiri.
Dari Majlis Agama Islam Negeri Kedah, juga kami menerima sebuah terjemahan al-Barzanji yang diterbitkan oleh Majlis itu sendiri, yang agaknya juga boleh dilagukan dengan lagu-lagu Arab secara Misri, Syika, Raghbi, Rakbi, Sadar, dan sebagainya.
Di dalam masyarakat Islam sekarang ini masih ada lagi beberapa buku karut bersebar dan diminati oleh orang awam. Antara lain ialah Hikayat Nur Muhammad dan Nabi Bercukur dan Nabi Wafat Adanya. Dalam Hikayat Nur Muhammad dikatakan bahawa yang pertama kali diciptakan Allah ialah Nur Muhammad (Cahaya Muhammad). Kemudian Nur Muhammad itu dijadikan seekor burung yang indah. Adapun kepala burung itu adalah Ali ibn Abi Talib; kedua matanya Hasan dan Husain; lehernya Fatimah; kedua lengannya ialah Abu Bakar dan 'Umar; ekornya Hamzah ibn Abd. Muttalib; belakangnya Abbas; kakinya Khadijah. Lalu diceritakan berbagai-bagai pengalaman ganjil Nur Muhammad itu. Dan akhirnya pahala yang sangat besar diberikan kepada orang yang membaca hikayatnya demikian juga yang mendengarkannya.
Kitab ini juga diterbitkan oleh al-Muarif (al-Maarif?-Peny.), Pulau Pinang.
Berlainan dengan al-Barzanji yang diketahui pengarangnya, maka kitab ini tidak mencatatkan siapakah pengarangnya. Namun, ia dicetak di Pulau Pinang.
Satu lagi kitab agama terbitan Dar al-Muarif Pulau Pinang yang bercampur dengan kisah-kisah yang tidak jelas sumbernya ialah Qisasul-Anbiya yang kononnya diterjemahkan daripada bahasa Arab oleh al-Haj Azhari al-Khalidi.
Di dalam peluang ini kami kemukakan contoh sebuah kisah yang tidak berasas itu:
Ringkasannya:
Ketika Allah hendak menjadikan langit tujuh lapis dan bumi tujuh lapis dan barang yang di antara kedua-duanya, maka pertama dijadikan seperti mutia (mutiara?) yang putih tujuh puluh ribu tahun lamanya terlantar. Tatkala Allah hendak menjadikan langit dan bumi, Allah pun menilik mutia itu lalu menjadi air. Maka Allah pun menjadikan api maka air itu pun berasap dan berbuih. Daripada itulah dijadikan langit dan daripada buih itulah dijadikan bumi. Jibrail pun menghamparkan buih itu, jadilah tujuh lapis bumi bertingkat-tingkat di atas air itu. Maka pusat bumi itu ialah negeri Makkah tempat Kaabah yang mulia. Setelah bumi dihamparkan dari masyrik ke maghrib bergeraklah seluruh anggotanya. Maka Allah pun menjadikan segala bukit akan pasak bumi. Di dalam air di bawah bumi Allah jadikan seekor ikan yang amat besar. Di belakang ikan itu seekor lembu putih warnanya bercampur hijau. Maka, bumi yang tujuh lapis itu pun diletakkan di atas tanduk lembu itu. Apabila lembu itu berasa penat dialihnya bumi itu dari satu tanduk ke satu tanduk, maka terjadilah gempa di bumi.
Demikian seterusnya penuh dengan cerita-cerita khayal yang tidak terfikirkan.
Kami berpendapat bahawa buku-buku yang sedemikian sepatutnya dilarang diedarkan. Ia dapat merosakkan akidah umat, boleh juga menjadi bahan ketawa ahli-ahli sains dan tidak menguntungkan dari segi dakwah.
Selain itu, kami berasa bimbang bahawa dengan membiarkan perkara seperti itu berlaku di tengah-tengah umat, kita akan terperosok ke bawah peringatan Nabi s.a.w. di dalam sepotong Hadis mutawatir:
"Sesiapa yang membuat dusta ke atasku hendaklah ia menyediakan tempat duduknya daripada neraka".
Di antara tokoh agama yang ditemui termasuk beberapa orang Sahibul al-samahah Mufti, khas tentang "Berzanji", mengakui "kesalahannya". Namun yang mesti kita fikirkan-katanya-apa penggantinya? Kita bimbang kekosongan itu akan digantikan dengan perkara maksiat seperti kugiran dan lain-lainnya.
Wallahualam bissawab.

4 comments:

  1. Anonymous9:24 AM

    Jangan mengandaikan sesuatu maklumat yang tidak kita ketahui sebagai salah dan dusta. Kerana itu kita patut letakkan diri kita sebagai insan yang kerdil dan tetap berusaha untuk mencari dan mengenali diri kita sendiri sebelum kita mengenali sesuatu di luar batas ilmu kita dan jangan kita semudah-mudahnya meletakkan hukum ke atas sesuatu yang ghaib dan rahsia. Semoga anda tidak menjadi manusia dusta. Renungkan kata-kata ini. Harap maaf jika menyentuh perasaan amarah anda.

    ReplyDelete
  2. Anonymous7:51 PM

    assalamualaikum
    ketika kumpulan yg menamakan mereka atau dinamakan mereka majmumah syarifatil anam atau seumpamanya membacakan bait2 syair ini di istana Sultan Abdul Aziz(cucu saidina Umar Al khattab)..baginda menegahnya,melarang mereka tanpa menghalang mereka..bahkan ketika kumpulan ini selesai mengalunkan pujian yg mungkin melampau ini..baginda(sultan Abdul Aziz menghadiahkan mereka beberapa hadiah..
    satu kepelikan yg pelik..melarang tapi memberi hadiah..ya,,mmg bnyk bende yg pelik dlm agama..seperti perang Ali n Muawiyyah..rata2 pendapat mengatakan keduan2 pihak ahli syurga.(kecuali munafiqin).mereka semuanya baik dari ali n muawiyyah mkn berjamaah dikalangan ahli muawiyyah..dan mereka semuanya bersolat dibelakang saidina Ali..kemudian mereka berperang ketika berperang..bg saya kiranya membunuh itu mendekatkan diri pada Allah..maka membunuhlah pada tempatnya..buatlah sesuatu kerana Allah..Wallahu Aklam.

    ReplyDelete
  3. Memuliakan seseorang tanpa pertimbangan kesadaran/akal, akan berujung pada kultus individu.Itulah awal-mulanya mytos. Dari sinilah musyrik mulai berkembang (Yuhibbuunahum ka hubbillaah/Mereka mencintai saingan Allah, sebagaimana mereka cintai Allah. QS2:165.Sulit membedakan cinta/iman kepada Allah dengan iman kepada selain Allah, kalau tidak dipandu olah Al Quran. Panduan Al Quranpun akan tergantung kepada siapa seseorang mendapat pemahaman Al uran itu. Disinilah pentingnya belajar ilmu kalam (atau tauhid), yang menyajikan dua keyakinan jabariyah dan kadariyah atau penafsiran al ma'tsur dan ar ra'yu. Kedua-duanya harus difahami sebelum diimani.

    ReplyDelete
  4. Anonymous8:02 AM

    RASULULLAH melihat berkumpulnya setan pada Majlis yg sedang bertengkar. Maka hindari pertengkaran. Semoga ALLAH mengkaruniakan Rahmat dan Hidayah-NYA kepada kita semua, AMIN YA RABB..

    ReplyDelete